Kisah ini saya berkongsi tentang kejadian Dompet tercicir di atas bumbung kereta semasa isi minyak di BHP Petrol Besraya, Serdang Raya Selangor. Semoga perkongsian pengalaman ini boleh jadi panduan dan pedoman untuk sesiapa yang mengalami kes yang lebih kurang sama. Saya bernasib baik sebab Kad Pengenalan tidak tercicir sekali. kalau tak memang lagi leceh kena buat laporan polis. Terima kasih BHP Petrol atas semakan & pengesahan CCTV di Stesen Minyak BHP Besraya
petrol, minyak
Contoh gambar stesen minyak. Sumber

DOMPET TERTINGGAL DI STESEN MINYAK | 

Kisah bermula bila saya sekeluarga dengan anak dua orang, Irfan dan Imran serta Isteri dalam perjalanan balik kampung Pekan, Pahang dari Sei Kembangan, Selangor. Kami bergerak macam biasa dari Seri Kembangan, lalu ke Besraya menghala ke Sungai Besi. Sebelum meneruskan perjalanan, saya berhenti isi minyak di BHP Petrol Besraya, nanti cuma berhenti rehat sahaja kat RNR. Saya keluar kereta menghala ke tangki minyak, keluarkan dompet dari poket belakang dan ambil kad kredit Maybank untuk bayar guna kad, kemudian masukkan semula kad kredit dalam dompet. Entah macam mana tangan yang pegang dompet tu letak atas bumbung kereta dan anak, Imran yang berumur 1 tahun 8 bulan mengintai dari tempat duduk penumpang. Biasalah perangai Papanya mula mengagah-agah dari luar tingkap sambil satu tangan mengepam minyak dan satu tangan lagi tanpa sedar agah-agah anak (memang terus terlupa yang pegang dompet masa tu..kebiasaannya dompet saya tinggal dalam kereta dan cuma ambil kad kredit dan kad stesen minyak). Selesai sahaja isi minyak penuh kereta Perodua Alza lebih kurang RM70+. Kemudian saya teruskan perjalanan macam biasa memang tak sedar langung pada tangan tiada dompet. Kemudian kami berhenti di RNR Bentong untuk beli jajan dan air untuk mengunyah dalam kereta. Bila saya mula nak cari dompet..tiba-tiba TIADA!! Tengok celah pintu TIADA, Tengok bawah tempat duduk, TIADA lagi.

HUBUNGI LOKASI STESEN MINYAK |

Oleh kerana saya ini bukan jenis mudah panik, kita relax-relax sambil memandu ke Pekan, Pahang sambil cari contact nombor telefon BHP Besraya di Google (Semua di hujung jari!) dan cuba call tapi gagal sebab nombor tidak digunakan, sama juga contact di Facebook. Kemudian saya pergi ke laman Web BHP Petrol, cari BHP punya emel (orange@bhpetrol.com.my) dan terus emel ke mereka. (Yang penting bagi emel adalah TAJUK, guna tajuk KECEMASAN dengan letak sebagai 'Importance High' dan sentiasa letak contact untuk dihubungi. Saya sampai di Pekan, Pahang dah tengah malam dan keesokan harinya Pihak BHP Petrol Besraya hubungi aku melalui telefon bimbit.
BHP Petrol : Hello, ini Encik Muhammad Iqbal ke? Saya buat panggilan dari BHP Besraya, HQ ada call kami yang Encik ada emelkan tentang tertinggal dompet ya.
Saya terus mengiakan dan perbualan lebih kepada perkara terperinci seperti

  1. Pam Nombor berapa
  2. Isi Minyak Berapa Ringgit
  3. Bayar Petrol macam mana
  4. Kereta Apa, Nombor Plat
  5. Masa yang tepat, tarikh

Kemudian, dia (mungkin pengurus Stesen minyak tersebut) bagi kata-kata semangat sikit, dan akan hubungi lagi selepas mereka semak melalui Rakaman CCTV.
"Baik Encik, takper..bagi kami masa untuk semak CCTV dari masa sekian ke sekian... Memang biasa orang tertinggal dompet atas kereta ni.."
Tidak setelah beberapa kali call untuk buat pengesahan perkara terperinci tersebut akhirnya dapat juga jawapan daripada BHP Petrol Besraya.
"Okay Encik, kami dan tengok CCTV kami dan memang ada nampak dompet atas kereta encik, dan dompet itu masih ada lagi atas kereta semasa kereta keluar dari stesen minyak kami.. "
Terima kasih BHP Petrol atas semakan & pengesahan CCTV di Stesen Minyak BHP Besraya semalam & harini.. Daripada CCTV tu memang confirm Dompet saya tertinggal atas bumbung kereta & masih di atas bumbung masa saya bergerak keluar stesen... Cuma ada Lesen Memandu, Kad ATM & Kad Kredit & Duit RM55 (semua kad dah block)... Cuma terkilan sebab Wallet Feveret "Black Pearl Manta Ray Leather" (Kulit Ikan Pari*katanya) sejak 2012. Nasib baik kad Pengenalan (IC) tak letak dalam wallet sebab guna IC sbg Touch N Go & letak pada smartag masa itu.

duit, bank

'BLOCK' KAD DAN BUAT KAD BARU

Oleh kerana kad Pengenalan masih selamat jadi saya tak perlu buat laporan polis. Antara kandungan yang ada dalam dompet ialah:
  1. Lesen memandu
  2. Kad ATM Maybank dan CIMB
  3. Kad Kredit Maybank
  4. Kad Bisnes
  5. Duit Tunai RM55

Jadi semua kad-kad penting kena selesaikan dulu bagi mengelakkan salahguna.

LESEN MEMANDU | ada yang saya baca dalam Internet  jika kehilangan Lesen Memandu perlu laporan Polis dan ada juga yang kata tidak perlu. Jadi saya ambil keputusan untuk tidak buat laporan polis. 
  1. Saya terus ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Presint 4, Putrajaya (atau boleh pergi mana-mana JPJ) sebab tak berapa sesak dengan kenderaan tapi Pejabatnya agak kecil padat dengan orang.
  2. Bawa Kad Pengenalan dan Duit RM 30 (sebab tarikh lesen belum luput lagi))
  3. Ambil Nombor Giliran dan tunggu. (seingat saya tak perlu isi borang apa-apa,
  4. Apabila nombor giliran dipanggil, serahkan Kad Pengenalan dan duit untuk buat. Pegawai JPJ mungkin akan bertanya beberapa soalan asas.
  5. Proses buat kad tak lama, cuma tunggu nombor giliran yang lama. Anggaran masa saya pada masa itu dalam 1 jam.

KAD ATM & KAD KREDIT BANK | Untuk melaporkan Kehilangan kad ATM, Kad Kredit boleh hubungi nombor telefon Bank. Urusan laporkan ni hanya melalui telefon sahaja. Saya cuma perlu ke Bank-bank untuk buat Kad Baru. Apabila telefon ke bank-bank nanti dia adalah tekan butang mana-mana dan terus bercakap ke Pegawai bank. Cuma MAYBANK memang susah nak dapat bercakap dengan pegawai dia sampai beberapa kali saya hubungi, akhir sekali saya mesej di Facebook MAYBANK berkenaan dengan perkara itu dan tinggalkan nombor telefon. Kemudian pegawai MAYBANK sendiri yang hubungi, barulah dapat laporkan kehilangan.

Walaupun dalam dompet itu ada Kad Bisnes dengan lengkap alamat pejabat dan nombor telefon, masih tiada sesiapa yang hubungi (atau saya yang tak angkat panggilan). Semoga dompet itu berada di tempat sepatutnya. Selesai semua urusan laporan untuk dokumen dalam dompet itu, harap-harap tiada yang disalahgunalah.